Sunday, December 05, 2010

Ukhuwah 1 realiti

Ketika organisasi-organisasi lain mencari titik persamaan selain matlamat perjuangan mereka dan terasa hilangnya ruh yang mengikat jiwa mereka, bersyukurlah organisasi dakwah kerana kita diikat dengan banyak hal yang asanya ialah iman yang mapan. Matlamat perjuangan organisasi dakwah diinspirasikan oleh al-Quran dan Sunnah, juga Sirah sebagai panduan. Dalam erti kata lain, perjuangan organisasi ini tidak dipandu oleh sesuatu yang bersifat materialistik mhupun duniawi.


Bahkan antara asas penting yang menyatukan para pendokong dakwah ialah ukhwah, sesuatu yang tidak cukup diterjemah sekadar dengan butiran kata mahupun bait tulisan. Serendah-rendahnya berlapang dada, setinggi-tingginya ialah itsar. Kata seorang akh, seandainya ukhwah itu adalah tali yang mengikat hati-hati para du’at, sekiranya ia tidak dikenali dan terputus, maka akan bercerailah hati-hati tersebut dan itulah bahana yang paling buruk dalam dakwah ini. Nilai ukhwah ini tidak dapat ditukar dengan apa sekalipun, kerana kesannya pada hati membekas buat selamanya sekali ia terpaut.

Berada di waqi’ luar negara tentunya berbeza apabila kita telah kembali ke Malaysia, terutama kepada mereka yang mendapat hidayah dan petunjuk untuk menggabungkan diri dalam gerabak dakwah. Kerana kemanisan ukhwah itulah yang pertama sekali dirasa. Senyuman dan kehangatan sambutan ikhwah dan akhwat dirasakan seolah-olah asing sekali, mungkin ada yang tertanya ‘masih ada orang sebaik mereka di dunia ini?’. Kemesraan ini sukar sekali untuk dilupakan kerana kita dihiburkan dengan kemanisan ukhwah di atas iman, berbeza sekali dengan ukhwah yang lainnya.

Namun berhati-hatilah, kerana salah satu virus ukhwah ialah kita terlampau menyayangi seseorang itu, sehingga kita berlebihan dalam usaha mendapat dan memberikan sayang dan cinta tersebut. Juga yang dikatakan berlebihan itu ialah terlampau bergantungnya kita kepada al-akh atau al-ukht tersebut, sehinggakan kita tidak sanggup berpisah dan dipisahkan darinya. Berhati-hatilah, kerana ukhwah itu juga ada haknya, apabila ia tidak dipenuhi, maka anda akan melihat bencana berlaku bermula dari dalam diri anda sendiri. Ukhwah yang diraikan tanpa haknya (menegur, menasihat, membetulkan, dll) bukanlah ukhwah, tetapi hanyalah rasa yang dibentuk-bentuk oleh perasaan dan jiwa kita sendiri tanpa ada panduan yang jelas.

Apabila kembali kepada waqi’ asal kita (Malaysia), usahlah berlengah, jangan tunggu sehingga cuti habis, atau sehingga punya aktiviti besar, barulah kita mahu menebarkan jala ukhwah. Kerana berbezanya waqi’ maka berbezalah sesuatu hal itu diraikan. Sekiranya anda menunggu untuk dibelai-belai dan dimanja-manja, maka anda akan ketinggalan dalam mengadaptasikan diri ke dalam waqi’ asal seterusnya memberi kejutan kepada amal anda, sehingga tidaklah mengejutkan kalau-kalau anda memilih untuk futhur. Usah menunggu orang lain menjalin ukhwah kepada anda, tetapi andalah yang menjalin ukhwah.

Ukhwah juga penting dalam membentuk sinergi kumpulan untuk menghasilkan natijah yang mantap. Keserasian perlu dibentuk dan dicanai sesama ikhwah. Untuk menghasilkan program yang mencakup ribuan orang, tanpa kerjasama yang padu tidak sekadar gagal mendapatkan jumlah yang disasar, malah gerak kerjanya juga akan barai. Benar sekali apabila seorang akh berkata kepada ikhwah dan saya, ‘antum sama-sama antum, perlu dimantapkan dahulu, sekadar duduk di meja mesyuarat tidak cukup’.

Kenalilah ikhwah dan akhwat yang bersamanya anda bekerja. Tidak cukup sekadar mengetahui namanya sahaja. Bekerjalah untuk mengetahui apa yang digemarinya apa yang tidak digemarinya. Kemampuan kita untuk mengiktiraf kemahuan dan ketidaksukaan seseorang itu akan membuatkannya lebih setia dan kagum pada lafaz ukhwah yang kita sebutkan. Penuhilah pula hak-haknya, mendoakan mereka, menasihati apabila diminta, menegur apabila perlu, dan seperlunya.

Hakikat yang kita perlu bersedia untuk hadapi ialah, ukhwah yang hangat bisa dirasai semasa berada di luar negara, meskipun di celah kesibukan studi dan peperiksaan serta kuiz yang menderu datang tidak akan dapat dirasai apabila kita kembali ke medan amal yang sebenar. Bukan sepanjang masa kita akan bertemu dengan ikhwah dan akhwat sekalipun duduk serumah. Masing-masing dengan kesibukan masing-masing, setiap orang dengan tanggungjawabnya pula. Mereka yang asyik dalam ukhwah, ketika inilah anda akan diuji. Anda akan diuji dengan kesunyian, kebosanan, kekeringan, dan sebagainya. Syaitan tidak akan putus asa melemahkan ikatan hati para du’at, sehinggalah kita merasakan bahawa kita tidak penting di mata ikhwah.

Bangkitlah, bangkitlah dari mimpi enak yang direka-reka penuh angan dan kembalilah berpijak di bumi nyata.

Kita tidak hidup seorangan di atas muka bumi, dan semua orang punya urusan masing-masing yang tersendiri. Sekiranya kita berasa lemah dan ingin futhur, maka kita sendirilah yang keluar mencari ukhwah dan mendidik dzatiyyah kita yang lemah untuk terus kuat berdiri meskipun ikhwah tiada di sisi. Ikhwah bukan tidak boleh meluangkan masa untuk anda, namun bukan selamanya masa ikhwah adalah untuk anda.
"Cintailah kekasihmu sesederhana mungkin, siapa tahu ia menjadi musuhmu pada suatu saat nanti. Dan bencilah musuhmu sesederhana mungkin, siapa tahu ia menjadi sahabat dekatmu pada suatu saat nanti." [Hadith riwayat Imam Bukhari dan at-Tirmizi].

Percayalah, sekalipun kita terasa lemah, izzah sebagai seorang dai’e itu akan tetap membara apabila kita menyebarkan benih ukhwah kepada orang lain, meskipun dia bukan ikhwah kita. Sebarkan ukhwah dengan melakukan Dakwah Fardiyyah kepada orang yang anda tidak kenali. Apabila anda bergaul dengannya, cubalah sebaiknya mengenali mad’u tersebut. Apabila hidup bersama dakwah, secara semulajadinya kita akan mengeluarkan kalimah-kalimah thoyyibah, dan saatnya anda melihat reaksi dan respon daripada mad’u itu akan mengecas semula semangat anda yang memudar.

Sekiranya anda masih belum mencuba, mungkin kini masanya?

-Akh Emir Abu Khalil

0 comments: